Friday, April 23, 2010

Ilham Centre milik PAS ingin tempelak Anwar ?


Motif kajian Ilham Centre yang memperlihatkan UMNO/ BN mendapat sokongan kukuh di kawasan pengundi Melayu menjadi persoalan. Ini kerana peratus pengundi Melayu di Hulu Selangor hanya 53 % sahaja manakala selebihnya adalah pengundi Cina dan India. Mana-mana parti politik tiada pilihan perlu mendapatkan sokongan ketiga-ketiga kaum di Hulu Selangor tersebut untuk memenangi pilihanraya kecil tersebut.

Menurut hasil kajian yang dikeluarkan oleh badan kajian milik PAS dan rapat dengan Datuk Seri Haji Hadi Awang itu, menyatakan seramai 261 (37.25%) responden mengatakan BN akan menang manakala 16.1 % peratus menjangkakan PKR akan menang dalam pilihanraya tersebut. Sementara bakinya sebanyak lebih 40 peratus mengatakan belum pasti akan mengundi parti mana.

Mungkin ia sebagai mesej kepada jentera PAS supaya bekerja lebih keras memandangkan tempoh berkempen akan tamat lebih kurang 30 Jam lagi atau pun ia sebagai strategi untuk melekakan jentera kerja UMNO /BN .

Sebelum ini amat sukar sebenarnya kita ingin memperolehi input daripada badan yang dinaungi PAS seperti Ilham Centre, sebagai contohnya di Bagan Pinang hasil kajian Ilham Centre juga dikeluarkan namun tidak dihebahkan kepada umum. Pada masa itu Ilham juga membuat kajian dengan mengatakan PAS akan kalah pilihanraya kecil tersebut dan jangkaan tersebut akhirnya benar berbanding dengan kajian Merdeka Centre yang mengatakan BN akan kalah kepada PAS.
Oleh itu menjadi tanda tanya tujuan utama penyebaran hasil kajian badan tersebut.

Mungkinkah PAS ingin memaklumkan kepada Anwar dan jentera PKR bahawa orang Melayu tidak mengemari polisi yang dilakukan Anwar sekarang terhadap Pakatan Rakyat. Jesteru itu Ilham digunakan sebagai alat untuk menerangkan kepada Anwar dan PKR.

Hari ini Lim Kit Siang memaklumkan bahawa PKR masih tertinggal di belakang BN, jesteru itu beliau telah mengarahkan jentera DAP agar memastikan undi orang Cina sebanyak 80 peratus diberikan kepada PKR.

Pada masa yang sama kajian Iham Centre disebarkan kepada umum, dari situ kita dapati PAS sebenarnya semacam tidak selesa cara Anwar sekarang yang hanya menumpukan mendapat sokongan pengundi bukan Melayu sahaja untuk memerintah.

Hasil kajian juga menyatakan 1 Malaysia memberi impak sebanyak 29 % kepada sokongan kepada BN, manakala isu UMNO/APCO yang sebelum ini dimainkan oleh Anwar hanya mendapat perhatian 3.1 %. Ini bererti orang Melayu sebenarnya lebih tertarik dengan idea 1 Malaysia berbanding dengan isu ciptaan mengarut yang dibawa oleh Anwar Ibrahim yang belum pasti betul dan tepat.

Oleh itu tidak mengejutkan sekiranya Anwar beria-ia cuba mencemarkan imej 1 Malaysia dengan pelbagai dakwaan yang tidak masuk akal, dan cara berpolitik Anwar ini seolah tidak digemari oleh pemimpin PAS.

Berdasarkan itu, seharusnya penyokong BN tidak leka dengan kajian tersebut kerana seolah terdapat permainan yang cuba di aturkan oleh pihak PAS melalui Ilham Centre untuk menekan Anwar Ibrahim.

Hulu Selangor juga mempunyai bilangan pengundi yang tidak kurang besar tinggal dikawasan perbandaran baru di kawasan Bukit Beruntung, Bukit Sentosa termasuk Kuala Kubu Baru dan Serendah , tetapi kajian Ilham Centre tersebut hanya tertumpu di kawasan felda dan kampong Melayu. Oleh itu seharusnya tidak teperangkap dengan mainan persepsi hingga memakan diri pada akhirnya.

No comments: