Saturday, January 30, 2010

Mahkamah tolak permohonan Anwar akses bukti

Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya telah menolak rayuan permohonan Anwar Ibrahim bagi mendapatkan dokumen utama pihak pendakwaan berhubung kes liwatnya.

Antara dokumen penting yang dipohon Anwar ialah mendapatkan rekod keterangan Dr .Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, nota ahli kimia serta laporan perubatan.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan beliau mendapatkan semua dokumen terbabit kecuali sampel DNA pengadu, iaitu bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Azlan Bukhari.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu bagaimanapun diketepikan Mahkamah Rayuan.

Perbicaraan kes liwat itu dijadualkan pada Selasa ini namun Anwar telah memfailkan permohonan bagi menangguhkan prosiding perbicaraan tersebut.

Peguamnya, S.N. Nair, berkata beliau memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di Kuala Lumpur.

Menurut Nair mahkamah telah menetapkan Selasa depan bagi mendengar permohonan itu di depan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Sama ada perbicaraan itu diteruskan atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan hakim.

Katanya, perbicaraan itu perlu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Datuk Seri Anwar berhubung penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonannya membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Sebelum ini Anwar telah memfailkan notis rayuan terhadap perintah itu pada 10 Disember lalu, dan Mahkamah Rayuan masih belum menetapkan tarikh bagi mendengar rayuan itu.

Pada 1 Disember lalu, Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan Datuk Seri Anwar dan menetapkan perbicaraan selama sebulan mulai Isnin lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan terakhir Seri Anwar berhubung permohonannya itu bagi mendapatkan dokumen yang didakwanya adalah penting bagi pembelaannya, memerintahkan perbicaraan ditunda kepada Selasa ini sementara menunggu keputusan mahkamah.

Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful di kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008. dan Kes liwat Anwar dengan Saiful ini merupakan yang kedua selepas kes liwatnya pada tahun 1998.

No comments: