Saturday, November 21, 2009

PAS Kelantan bergolak : Anwar harus dipersalahkan?


PAS Kelantan dikatakan tidak mahu mencampuri isu berkaitan yang dihadapi Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menyatakan ia tiada kaitan dengan soal politik.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim seperti dipetik BERNAMA mengatakan parti itu yakin Menteri Besar mampu menyelesaikan sendiri isu berkaitan menantunya Ariffahmi Abdul Rahman dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan menunaikan haji ke Tanah Suci.

"PAS Kelantan tidak pernah membincangkan soal ini kerana ia bukan perkara politik sebaliknya ia masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan sendiri Tok Guru (Nik Aziz) selaku Menteri Besar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat badan perhubungan parti itu di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 di Kota Bharu.

Mesyuarat itu dipengerusikan Nik Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan tetapi enggan menemui pemberita atas alasan kesihatan.

Khabar angin didalam blog yang mengatakan Abdul Ariffahmi akan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK dan juga peletakan jawatan seorang Exco kanan kerajaan negeri juga dinafikan oleh Mohd Zaki Ibrahim. Pada mesyuarat itu difahamkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Husam Musa tidak dapat hadir dan dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital atas sebab kesihatan.

Sementara itu Husam Musa dalam Malaysia Insider mengulas isu dan pergolakan yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan isu PBMK, menjelaskan ia adalah kerja untuk menjatuhkan beliau didalam PAS Kelantan.

Syed Azidi mengulas kenyataan Husam menyatakan beliau amat sedih dengan segala apa yang berlaku kepada Husam Musa kerana cuba disabotaj dari dalaman PAS Kelantan.

"Tidak berada didalam Kerajaan dan tinggalkan PAS adalah yang terbaik buat Husam tetapi ia adalah malatpetaka buat PAS Kelantan dan rakyat yang memerlukan pembelaan"

"Saya berani berkata, Kerajaan Negeri Kelantan sudah tidak berminat membela insan-insan kecil. Yang masih mempertahankan insan-insan kecil hanya dua tiga orang sahaja lagi di dalam exco Kerajaan Negeri dan Husam adalah seorang darinya."

Berdasarkan kenyataan Syed Azidi ini adalah jelas Husam dan Syed Azidi masih lagi merupakan teman yang akrab dan saling memerlukan antara satu sama lain, malah Syed Azidi sendiri menyatakan bahawa dirinya akan membela Husam Musa habis-habisan dari disabotaj pimpinan PAS negeri.

Pendedahan Blogger ini sebenarnya mendedahkan bahawa PAS Kelantan memang bermasalah dan wujud tentangan yang amat kuat dari beberapa pimpinan negeri terhadap Husam Musa. Soalnya sekarang siapa yang cuba mensabotaj Husam Musa, adakah ia melibatkan anak Tok Guru Nik Aziz sendiri iaitu ustaz Nik Abduh yang sebelum ini pernah mengatakan ayahnya mendapat nasihat yang salah dari pembantu sesat yang berada di Kota Darul Naim.

Barangkali juga pimpinan yang cuba mengusir Husam ini adalah Takiyudin yang sebelum ini memang diketahui mempunyai hubungan dingin dengan Husam Musa. Sikap Husam yang disifatkan angkuh dalam membawa agenda peribadi dikatakan antara punca tidak disukai oleh pimpinan PAS Kelantan yang lain.

Walau apapun persepsi dan penafian pergolakan didalam Kerajaan negeri Kelantan, sedikit demi sedikit sudah mula wujud kelompangan pada pentadbiran yang dikatakan berteraskan Islam tersebut. Mungkin selepas ini akan lebih banyak benda yang terselak yang selama ini hanya disimpan rapi dibawah karpet di Kota Darul Nain sahaja.

Diharapkan pimpinan PAS menyedari segala punca perkara ini berlaku dan janganlah hanya menuding jari kepada musuh politik UMNO sahaja. Kerana satu fakta yang tidak dapat disangkal kemelut dalaman PAS ini mula wujud dan berlaku semenjak PAS mengadakan tahaluf siasi dengan Anwar Ibrahim dan juga DAP.



No comments: