Wednesday, September 2, 2009

Chin Huat : orang islam alami Schizophrenia, - Anwar sahaja betul?


Dalam satu kolum didalam sebuah akhbar online Wong Chin Huat telah melontarkan pandangan sinis beliau terhadap konsep 1 Malaysia yang ingin digerakkan oleh kerajaan persekutuan. Pada beliau umur kerajaan sekarang tidak akan kekal lama kerana BN mengalami sakit schizophrenia atau penyakit mental.

Dari satu isu ke satu isu beliau mengkritik polisi kerajaan sehinggakan semua tindakan kerajaan salah, seolah hanya pakatan rakyat sahaja yang tepat dalam membuat keputusan.

Namun agak menarik juga apabila dia juga mengatakan bahawa PAS juga mengalami penyakit mental sama celaannya terhadap UMNO. Adakah ini membawa mesej orang islam yang mengalami penyakit mental? ini kerana apabila dia mengatakan UMNO dan PAS ertinya ahli kedua-dua parti tersebut adalah orang Melayu beragama Islam, dan beliau begitu tidak selesa dengan tindakan sesetengah golongan dalam PAS yang pro konsep negara islam.

Beliau dengan angkuh mengatakan kejayaan PAS memenangi banyak kawasan adalah kerana polisi negara islam yang dibuang PAS telah dapat mengamit masyarakat bukan Islam. Sekiranya slogan negara islam dimainkan beliau percaya masyarakat bukan islam tidak akan sesekali mengundi PAS.

Jika hujah beliau ini betul, maknanya kata-kata MB kelantan bahawa masyarakat bukan Islam menerima PAS kerana Islam adalah mengarut dan tidak masuk akal. Sedangkan masyarakat bukan islam menerima PAS kerana slogan negara islam itu sendiri yang digugurkan oleh parti PAS. Dalam keadaan ini kita melihat ia merupakan kejayaan Anwar ibrahim kerana sedikit sebanyak jarum-jarum yang dicucuk beliau kepada pemimpin moderate PAS berjaya diterima kepimpinan PAS.

Kata penulis tersebut, dari segi politik PAS, ia terbahagi kepada dua. Satu ialah PAS yang ghairah membincangkan "negara Islam" selepas tahun 2001, dan satu lagi ialah PAS yang sedang mengambil pendekatan sederhana, melaungkan "negara kebajikan", "PAS untuk semua" pada pilihanraya tahun 2008. (mungkin dalam konteks ini kita namakan ia kelompok moderate muslim, satu gagasan yang dibawa Anwar ibrahim ke dalam Politik Malaysia)

Menurut Chin Huat juga, "PAS negara Islam" hanya mampu memperolehi kira-kira 30% undi Melayu di luar Kelantan pada pilihan raya tahun 2004, usahlah disebut berapa pengundi bukan Melayu yang tertarik dengan PAS. Dibandingkan "PAS negara kebajikan" memperolehi kira-kira 60% undi Melayu, malah di kawasan bukan Melayu juga mencatat 60% hingga 70% pada tahun 2008. Ini bukti masyarakat bukan Melayu menurut penulis tersebut ingin PAS meningalkan ideologi negara islam.

Keputusan pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Permatang Pasir membuktikan bahawa PAS mampu meraih sokongan antara 50% hingga 60% Melayu, sementara sokongan bukan Melayu boleh dilonjakkan ke 70% hingga 80%. Dalam empat pilihan raya kecil selepas PRU ke-12, calon yang diletakkan walaupun bukan daripada aliran "yang memperlihatkan keterbukaan" seperti Mohd Nizar, juga bukan konservatif yang akan menakutkan orang bukan Melayu. Dengan kata lain, yang bertanding dan yang menang, adalah "PAS negara berkebajikan" hujah Chin Huat.

Namun, "PAS Negara Islam" walaupun berpeluk tubuh selepas ketewasan tahun 2004, tetapi mula mencetuskan masalah sekali-kala selepas tahun 2008, seiras dengan mereka yang mendominasi parti selepas kemenangan tahun 1999, yang makin menuju ke penghujung ektrem.

Menurut penulis ini langkah PAS membiarkan tindakan beberapa orang pimpinan PAS seperti Hassan Ali dan Nasrudin akan menyebabkan orang bukan islam akan meninggalkan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Angkatan moral pegawai masjid" yang dicadangkan Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor, Hassan Ali, dan penentangan konsert Michael Learns to Rock oleh Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Tantawi adalah tanda-tanda baru kembalinya "PAS Negara Islam". kata penulis tersebut.

Dan beliau mengandaikan seandainya "PAS Negara Kebajikan" gagal menghalang "PAS negara Islam" daripada hijack kemenangannya, ia mungkin akan membawa padah. Dan pilihan raya kecil Permatang Pasir mungkin umpama kemenangan besar-besaran PAS pada tahun 1999, menjadi ciuman maut kepada pakatan pembangkang.

Kalau kita meniliti pandangan penulis ini adalah jelas, bahawa mereka sedikit pun tidak inginkan Islam yang diingin dibawa oleh PAS. Mereka mahu pemimpin PAS lebih moderate dan liberal dalam berpolitik. Namun hujah pembawaan moderate dan liberal ini merupakan satu ungkapan yang amat ditakuti oleh kepimpinan PAS kerana ia seolah-olah akan menjilat kembali usaha mereka memerangi kelompok islam liberal dan golongan yang cuba merosakan aliran islam, Inilah agaknya yang membingunkan dalaman PAS saat ini.

*Artikel ini ditulis dan diolah bersandarkan tulisan Wong Chin Huat di Merdeka Review

No comments: