Sunday, August 23, 2009

Tok Guru : Antara Kafir dan Syurga


Dalam buku Memoir Politik Asri, bekas menteri besar Kelantan itu menyatakan, pada suatu ketika selepas PAS menguasai kelantan dan Terengganu, pernah dibangkitkan PAS sengaja mempermainkan isu kafir-mengkafir untuk menarik pengundi dan sokongan rakyat khususnya umat islam, sehingga pada suatu ketika suasana masyarakat begitu tegang terutamanya di Kelantan, banyak ulamak tergugat, pengajian pondok terganggu. Pengajaran tafsir menjadi suatu momokan yang membimbangkan apabila berlakunya penafsiran ayat-ayat tertentu.

Apabila PAS sudah tidak berada dalam BN menurut Dato Asri, pelbagai karenah telah mula wujud dikalangan pemuda PAS. Menurut beliau tedapat seorang pemuda PAS telah berkunjung ke rumahnnya apabila Dr. Mahathir Mohamed mengambilalih pucuk pimpinan UMNO dan melaksanakan polisi penerapan nilai-nilai Islam dalam masyarakat dan negara.

Pemimpin muda PAS itu menurut Dato Asri mendedahkan kebimbangannya tentang masa depan PAS, sehingga terkeluar perkataan:

“kalau begitu taktik Dr Mahathir dengan UMNOnya habislah PAS”
“Rakyat akan berpaling daripada PAS, sebab yang mahu diperjuangkan oleh Mahathir hampir sama dengan PAS”.

Dato Asri bila mendengar kata pemuda PAS tersebut terpaksa menyatakan bahawa kewajipan semua umat islam baik daripada PAS maupun UMNO dan daripada golongan mana sahaja untuk memperjuangkan dan menegakkan Islam. Kalau UMNO mahu mahu memberikan saham dalam perjuangan ini seharusnya PAS bersyukur kerana mereka tulang belakang kerajaan kata Dato Asri kepada pimpinan PAS tersebut.

Seterusnya pemimpin muda itu membangkitkan kalau UMNO ingin lakukan Islam, apa lagi yang ingin dilakukan PAS. Kenyataan pimpinan tersebut terpaksa dijawab Dato Asri bahawa masih banyak ruang untuk memberikan pandangan dan kritikan membina terhadap kerajaan.

Akibat tidak berpuas hati dengan kenyataan Dato Asri, pemimpin muda itu terus keluar dari rumahnya.

Lanjutan dari kejadian itu hubungan Dato Asri dan pemimpin muda dengan beliau juga renggang. Di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu telah muncul beraneka kejadian kafir mengkafir yang mengakibatkan perpecahan dikalangan keluarga. Anak berpecah dengan bapa, suami isteri berkelahi dan wujudnya masyarakat yang dibahagikan mengikut perbezaan politik, berlakunya kejadian dua iman dan dua masjid semukim. Yang tragisnya apabila berlaku kenduri kahwin oleh satu pihak ia tidak dihadiri oleh pihak yang lain hingga begitu banyak lauk pauk terpaksa dibuang sahaja.

Apa yang berlaku suatu ketika dahulu kini berlaku lagi pada tahun 2009 apabila, Menteri Besar Kelantan Dato Nik Aziz dilaporkan mengatakan hanya orang PAS sahaja yang akan masuk syurga. Adakah mungkin tindakan tersebut dilakukan kerana PAS bimbang dengan situasi semasa yang dikatakan tidak menyebelahi PAS.

Dari satu pilihanraya kecil ke satu pilihanraya kecil undi untuk PAS dikatakan semakin turun mendadak menandakan pengundi Islam sudah semakin jauh dengan PAS. Ini lah sebenarnya yang semakin merisaukan Dato Nik Aziz, hinggakan pendapat terkini dari bangunan Jalan Dato Pati yang menempatkan PAS Kelantan mengatakan jika ada lagi pilihanraya kecil di kelantan PAS akan mengalami ketewasan kepada lawan.

Kebelakangan ini seringkali kita tergangu dengan pandangan kontroversi yang dikeluarkan oleh Menteri Besar kelantan tersebut, hari ini orang sering menyalahkan Anwar melalui Husam Musa yang menyebabkan Nik Aziz sering tersasul dalam mengeluarkan kenyataannya.

Yang nyata Nik Aziz bukan hanya sekarang sahaja beliau membuat perkiraan salah, malah semenjak dia berkecimpung dengan parti PAS sudah banyak gerak-gerinya yang boleh menghancurkan PAS.

Sewaktu peristiwa pemecatan Datuk Nasir dari jawatan menteri Besar Kelantan pada tahun 1977 oleh Pimpinan parti, Nik Aziz merupakan salah seorang yang bertangungjawab menyokong tindakan tersebut walaupun ketika itu tokoh lain didalam PAS seperti Mustapha Ali, Dr. Harun Din, Ustaz Hassan Shukri dan Dr. Daeng Sanusi tidak menyetujui langkah memecat Datuk Nasir daripada PAS.

Langkah sokongan Nik Aziz yang ketika itu merupakan Dewan Ulamak PAS Kelantan telah meyebabkan Dewan Ulamak PAS Kelantan melalui Setiausahanya meminta Nik Aziz meletakkan jawatan. Ini kerana tindakan Nik Aziz tersebut telah membawa perpecahan dalaman kepada PAS hingga berlakunya ketegangan di negeri Kelantan selepas itu, hingga darurat terpaksa dilakukan bagi mententeramkan keadaan.

Jika itu senario yang berlaku suatu ketika dahulu, adalah mungkin segala kenyataan dan tindakan dari Mursyidul Am PAS itu boleh dipertikai oleh ahli PAS. Sebenarnya bukan musuh luar yang menyebabkan PAS musnah, tetapi tindakan dalaman PAS sendiri yang menyebabkan mereka berpecah belah, seperti yang kita lihat pada hari ini.


No comments: