Wednesday, July 1, 2009

Liberalisasi kewangan bermula


MALAYSIA telah melonggarkan beberapa sekatan ke atas pelaburan asing di negara itu, termasuk undang-undang kontroversial yang memerlukan perniagaan dimiliki sebahagiannya oleh bumiputera.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan syarikat-syarikat yang disenarai di bursa saham tidak lagi perlu memperuntukkan 30 peratus daripada perkongsian mereka kepada bumiputera.
Undang-undang itu, tambah beliau, tidak memberi manfaat kepada masyarakat Melayu yang miskin atau dapat dikekalkan dalam kelembapan ekonomi sejagat yang dijangka mengheret Malaysia ke lembah kemelesetan, yang pertama sejak sedekad.
Ekonomi Malaysia dijangka menguncup sehingga 5 peratus tahun ini.
'Dunia sedang berubah dengan pantas dan kita harus bersedia berhadapan dengan perubahan atau menghadapi risiko ditinggalkan,' kata Datuk Seri Najib dalam sidang pelaburan anjuran Bursa Saham Malaysia semalam.
Masyarakat Melayu membentuk 60 peratus daripada penduduk Malaysia yang seramai 28 juta orang itu.
Warga minoriti China dan India tidak begitu gemar dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ada di kalangan bumiputera juga tidak begitu gemar dengan dasar yang dikatakan lebih memihak kepada golongan elit Melayu itu.
Selain itu, Datuk Seri Najib mengumumkan warga asing juga dibenarkan memiliki 100 peratus syarikat pengurusan dana.
Sehingga 70 peratus perkongsian dalam firma broker saham dan syarikat pengurusan amanah saham dibenarkan dimiliki warga asing, daripada 49 peratus sebelum ini.
Malaysia juga akan menarik balik peraturan memerlukan badan kerajaan, Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC), meluluskan pelaburan dalam sektor bukan strategik.
Urus niaga hartanah yang tidak melibatkan bumiputera tidak lagi memerlukan kelulusan FIC.
Pengumuman semalam adalah yang ketiga sejak Datuk Seri Najib menjadi perdana menteri April lalu.
Sebelum ini beliau melonggarkan beberapa sektor perkhidmatan seperti perbankan dan insurans.
HSBC meramalkan modal bernilai RM50 bilion ($20.6 bilion) dijangka mengalir keluar setelah perangkaan ekonomi diumumkan.
Pada tahun lalu, pelaburan sebanyak RM92.3 juta mengalir keluar selepas keputusan pilihan raya yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan krisis kewangan sejagat, menurut Reuters

No comments: