Tuesday, June 2, 2009

menjelang Muktamar-PAS dibelit angin ciptaan Liberal


Oleh Nahar Azmi Mahmud


SAMA ADA Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan muncul lebih kukuh sebagai sebuah parti politik di Malaysia akan ditentukan hujung minggu ini apabila parti itu mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya.

Beberapa isu baru telah timbul sehingga ada pengamat politik merumuskan isu-isu ini boleh menggugat perpaduan parti itu jika tidak ditangani secara betul oleh kepimpinan parti itu.
Satu kontroversi timbul selepas seorang pegawai kanan parti itu, Datuk Mohamed Daud Iraq, menyatakan dua jawatan tertinggi parti iaitu presiden dan timbalan presiden hanya akan disandang golongan ulama dan sarjana Islam.

Ulasan ini telah pun menghangatkan perdebatan di kalangan anggota dan kepimpinan PAS sendiri yang sekarang mempunyai hubungan rapat dengan beberapa parti berbilang kaum dalam Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotainya.

Menyokong pandangan Datuk Mohamed Daud, ada sebilangan pemimpin PAS berkata parti itu akan menghadapi masalah jika ia tidak dipimpin golongan ulama kerana asas parti itu bercorak Islam.Hanya pemimpin yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam akan tahu hala tuju parti itu pada masa depan.

Namun ada pihak yang kurang bersetuju dengan pendapat itu sambil menambah bahawa perlembagaan parti itu tidak menyebut presiden dan timbalan presiden mesti terdiri daripada golongan ulama.Tambah mereka, faktor penting seseorang pemimpin parti adalah kebolehan memimpin, mendapat kepercayaan rakyat dan dirinya dihormati.

Perdebatan dijangka terus hangat kerana sebahagian besar daripada sejuta anggota parti itu merupakan orang Melayu beragama Islam.

Cuma apakah PAS akan terus mendapat sokongan Melayu jika parti itu terus kekal menjadi anggota PR yang merangkumi berbilang kaum dan agama? Apakah jaminan mereka yang bukan Melayu akan turut menyokong parti itu?Tidak syak lagi para pemimpin parti itu berasa khuatir bahawa ulasan Datuk Mohamed Daud itu hanya menimbulkan perpecahan di kalangan anggota PAS menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti.

Sayogia, PAS pernah menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) semasa parti itu di bawah pimpinan Datuk Asri Haji Muda.Tetapi parti itu keluar daripada BN kerana para pemimpin PAS mendapati penyertaan parti itu tidak menguntungkan.

Mereka mendakwa apa saja kebaikan yang dilakukan parti itu, terutama dalam memajukan agama Islam di Malaysia, Umno yang mendapat nama baik, bukan PAS.

Dalam pada itu masih ada sesetengah pihak dalam PAS yang mahu mengadakan rundingan dengan Umno dari masa ke masa. Usaha ini dilakukan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan timbalannya, Encik Nasharuddin Mat Isa.

Kerana rundingan itu, ada pihak yang bertanya sama ada PAS berminat kembali menyertai BN.
Sementara itu, ada sebilangan golongan profesional dalam parti itu yang berpendapat walapun parti itu berasaskan Islam, pucuk pimpinan parti itu mestilah terdiri daripada mereka yang benar-benar layak sama ada mereka daripada golongan ulama atau profesional.

Kriteria ini dianggap jauh lebih baik daripada hanya menetapkan bahawa jawatan tertentu dalam parti dikhaskan untuk golongan ulama semata-mata.

Golongan profesional dalam PAS juga berpendapat bahawa dalam konteks menyatupadukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, tanpa kira agama atau keturunan, parti politik di tanah air, sama ada yang bercorak Islam atau tidak, perlu mengamalkan dasar lebih liberal sesuai dengan kehendak masyarakat majmuk di negara itu.

Golongan itu juga berpendapat masa depan PAS terletak pada kebijaksanaan para pemimpinnya dalam menjalin hubungan kerjasama dengan dua parti politik berbilang kaum iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Tidak hairanlah jika golongan konservatif dalam PAS menggelarkan golongan liberal itu dengan nama julukan Erdogans - sempena nama Perdana Menteri Turkey Recep Tayyip Erdogan yang dianggap sebagai seorang pemimpin Islam yang liberal.

Berbalik kepada isu kepimpinan PAS, sebahagian besar anggota dan penyokong PAS berharap perdebatan sekarang tidak akan melemahkan perpaduan parti itu sehingga boleh menjejas prestasi parti tersebut, selain memainkan peranan penting sebagai anggota PR.

Mereka juga berharap isu itu tidak harus diperbesar sehingga menjejas perpaduan parti.
Mereka masih percaya dengan sokongan yang diterima parti itu sekarang, ada harapan parti itu mampu memberi saingan hebat kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan menjelang 2013.

No comments: